Welcome To My Life...

Thursday, September 18, 2014

City Menyerah, Brahimi Menyerlah

Assalamualaikum.

Matchday 1 Part 2

Malam tadi berlangsung lapan lagi perlawanan pembukaan, peringkat kumpulan E-G. Persembahan Yacine Brahimi dan Gervinho memukau. Dua lagi kelab England gagal mencatat kemenangan. Dan AS Roma menang selepas kembali beraksi.

Apa nasib pasukan-pasukan lain?

-------------------------

KUMPULAN E

Roma 5-1 CSKA Moscow
Bayern 1-0 Manchester City


AS Roma dibantu aksi hebat Gevinho yang menjaringkan dua gol dan mencipta gol Juan Iturbe. Ledakan kencang Maicon dan gol sendiri Sergei Ignashevich membuatkan gol Ahmed Musa hanya sebagai sagu hati. Jagoan Jerman pula menguasai perlawanan dan hanya aksi cemerlang penjaga gol, Joe Hart, menyelamatkan City dari dimalukan. Namun sepakan lewat Jerome Boateng yang tertampan rakan sepasukan Mario Gotze berjaya melepasi Hart. 

Kedudukan: Roma 3; Bayern 3; City 0; CSKA 0

----------------------------------

KUMPULAN F

Barcelona 1-0 APOEL
Ajax 1-1 PSG

Luis Enrique memulakan kempen Liga Juara-Juara selaku pengurus baru Barca dengan cemerlang untuk meneruskan kempen gemilang La Liga. Jaringan tunggal Gerard Pique hasil sepakan percuma Lionel Messi sudah mencukupi. Lain pula nasib satu lagi pasukan pilihan dalam kumpulan ini. Gergasi Perancis, PSG, diikat tuan rumah, Ajax, dari Belanda. Sepakan percuma Lasse Schone memadamkan jaringan pendahuluan Edinson Cavani.

Kedudukan: Barcelona 3; PSG 1; Ajax 1; APOEL 0

--------------------------------------

KUMPULAN G

Chelsea 1-1 Schalke
Maribor 1-1 Sporting

Jose Mourinho menggunakan kekuatan pemain simpanan yang dimiliki Chelsea dengan merehatkan Diego Costa sebagai persediaan menghadapi Manchester City dalam liga hujung minggu ini. Jaringan Cesc Fabregas tidak mencukupi dan dipadamkan Klaas-Jan Huntelaar. Manakala di Slovenia, tuan rumah berjaya mengikat Sporting Lisbon. Walaupun pasukan pelawat mendominasi permainan dan melakukan 27 percubaan ke arah gol, hanya sepakan Nani dari luar kotak penalti berjaya membolosi gawang Maribor. Dan kesilapan pertahanan lawan lewat permainan dimanfaatkan Luka Zahovic dalam masa kecederaan.

Kedudukan: Schalke 1; Sporting 1; Chelsea 1; Maribor 1

---------------------------------

KUMPULAN H

Porto 6-0 BATE
Athletic 0-0 Shakhtar


Malam tadi milik Yacine Brahimi. Bintang Algeria itu meledak hatrik dalam perlawanan yang didominasi sepenuhnya oleh kelab Portugal. Pelawat dari Belarus hanya mampu mengira gol bolos apabila tiga lagi jaringan oleh Jackson Martinez, Adrian Lopez, dan Vincent Aboubakar menembusi gawang. Sementara itu di Sepanyol, Athletic Bilbao seri tanpa jaringan dengan kelab Ukraine.

Kedudukan: Porto 3; Athletic 1; Shakhtar 1; BATE 0

---------------------------------------- 


Tidak banyak kejutan berlaku kepada pasukan-pasukan besar. Cuma apabila dua pasukan gergasi bertembung, satu mesti tumbang. Dua jaguh England (Arsenal dan City) bukanlah tandingan kelab Jerman (Dortmund dan Bayern). Apa pun, ini baru perlawanan pembukaan. Masih ada lima perlawanan yang perlu diharungi setiap pasukan. Pemenang kumpulan belum ditentukan semalam. Tiada pasukan yang tersingkir lagi.

Perlawanan kedua akan berlangsung pada 30 September dan juga 1 Oktober. Sama-sama kita nantikan.



Wednesday, September 17, 2014

Gunners Kecewa, Kops Gembira

Assalamualaikum.

Matchday 1 Part 1

Liga Juara-Juara Eropah musim baru membuka tirainya malam tadi dengan lapan aksi pertama dalam Kumpulan A-D. Apa pun keputusan malam tadi masih belum boleh mengukur kemampuan setiap pasukan kerana musim baru saja bermula. Ada pasukan masih belum panas. Masih ada lima perlawanan dalam

Contohnya, Real Madrid membelasah Basel malam tadi walaupun beraksi buruk dalam liga. Apakah nasib para pasukan dalam tujuh lagi perlawanan?

--------------------------------

KUMPULAN A

Juventus 2-0 Malmo
Olympiakos 3-2 Atletico

Gergasi Itali mudah mengatasi pasukan Sweden yang beraksi kali pertama. Dua jaringan Carlos Tevez cukup untuk memberikan tiga mata penuh kepada Juve. Naib juara musim lalu pula tidak bernasib baik apabila kelab Sepanyol itu dikejutkan pasukan Greece. Masih segar dengan kejayaan mengatasi Real Madrid dalam perlawanan liga hujung minggu lepas, Atletico tunduk kepada pasukan tuan rumah.

Kedudukan: Juve 3; Olympiakos 3; Atletico 0; Malmo 0

---------------------------------

KUMPULAN B

Liverpool 2-1 Ludogorets
Real Madrid 5-1 Basel

Selepas lima tahun terlepas aksi Liga Juara-Juara, Kops kembali untuk mengatasi kelab Bulgaria. Kelab England itu menang tipis menerusi jaringan lewat Mario Balotelli dan sepakan penalti Steven Gerrard dalam masa kecederaan. Bintang-bintang ternama gergasi Sepanyol pula bangkit dari kekalahan kepada Atletico dalam perlawanan liga untuk menumbangkan kelab Switzerland. Gareth Bale, Cristiano Ronaldo, James Rodriguez, dan Karim Benzema, semuanya menjaringkan satu gol.

Kedudukan: 1. Real 3; Liverpool 3; Ludogorets 0; Basel 0

------------------------------

KUMPULAN C

Benfica 0-2 Zenit
Monaco 1-0 Leverkusen

Pasukan Rusia, Zenit, menjadi satu-satunya pasukan yang menang di tempat lawan selepas jaringan awal Hulk dan Axel Witsel cukup untuk membantu mereka menumbangkan Benfica. Jaringan tunggal Joao Moutinho selepas detik sejam pula membantu kelab kaya Monaco untuk menewaskan kelab Jerman walaupun kelab Perancis itu kehilangan Radamel Falcao dan James Rodriguez yang berpindah.

Kedudukan: Zenit 3; Monaco 3; Leverkusen 0; Benfica 0

----------------------------------

KUMPULAN D

Dortmund 2-0 Arsenal
Galatasaray 1-1 Anderlecht

Borussia Dortmund (Jerman) tidak bernasib baik apabila hanya menjaringkan dua gol menentang kelab England walaupun mempunyai deretan peluang. Gol-gol dijaringkan oleh Ciro Immobile dan Pierre-Emerick Aubameyang. Kelab Turki pula seri dengan kelab Belgium di laman sendiri. Jaringan Burak Yilmaz dalam masa kecederaan babak kedua memadamkan jaringan pendahuluan Dennis Praet.

Kedudukan: Dortmund 3; Anderlecht 1; Galatasaray 1; Arsenal 0

-----------------------------

Lapan lagi perlawanan pertama kumpulan akan diteruskan malam ini. Perlawanan-perlawanan tumpuan adalah seperti berikut:

Chelsea vs Schalke
Bayern vs Man City
Barcelona vs APOEL
Ajax vs PSG

Perlawanan terbesar semestinya gergasi Jerman, Bayern Munich menentang juara bertahan Liga Perdana Inggeris, Manchester City. Berdasarkan prestasi terkini, kedua-duanya belum menunjukkan taring tetapi Manchester City sedikit lemah. Chelsea dengan peledak baru, Diego Costa, pasti memberikan masalah besar buat Schalke.  




Tuesday, September 16, 2014

Berlian

Assalamualaikum.


Kali pertama selepas bertahun-tahun, Manchester United akhirnya memiliki pemain hebat untuk jersi nombor 7 hingga nombor 11. Terutama pemain muda berbakat Adnan Januzaj yang kini memakai jersi legenda Ryan Giggs.

Manchester United 4-0 QPR

Sudah lama berlalu sejak Alex Ferguson bersara. Dan sejak David Moyes mengambil alih, United bukan lagi pasukan yang disegani. Old Trafford pula bukan lagi menjadi tempat yang digeruni. Pasukan lawan tak lagi hadir ke Old Trafford bersedia untuk kalah. Mereka yakin mereka boleh menang dan keyakinan lawan bukanlah perkara yang baik untuk tuan rumah.

Selepas melabur wang besar-besaran, para peminat gemuruh untuk menyaksikan bintang-bintang baru Gaal-acticos beraksi buat kali pertama dalam satu pasukan. Dan hasilnya...... memang lumayan.

Sudah lama aku tak menyaksikan United beraksi dengan sangat meyakinkan. Ya, mencipta peluang demi peluang. Bukan lagi aksi hambar dan lesu. Bukan lagi berasa lega apabila lawan gagal mencipta peluang. Kini adalah masa untuk menikmati permainan menyerang dan menarik dari kelab utama bandar Manchester. Yes, Manchester always red.

---------------------------------

Salah satu kunci kejayaan United adalah formasi 'berlian' di tengah selain kembali menggunakan empat pertahanan untuk menggantikan sistem tiga pertahanan.

 
Semua pemain baru 2014. Hanya Mata yang dibeli semasa musim perpindahan Januari. Herrera disambar kala awal musim panas. Di Maria sedikit awal sebelum Blind. Kesemua mereka memainkan peranan penting dalam aksi licin dan lincah formasi 'berlian'.

Daley Blind berada di tapak berlian, di hadapan benteng pertahanan. Tugasnya adalah untuk menghentikan serangan lawan dan memulakan serangan United sendiri. Malam itu Blind membuktikan harga yang dibayar United untuk khidmatnya sangat murah berbanding kemampuannya. Walaupun tumpuan diberikan kepada rakan-rakan di depannya, Blind menjalankan tugas hebat secara senyap.

Ander Herrera baru kembali dari kecederaan juga beraksi cemerlang. Menjaringkan satu gol dan mencipta satu lagi gol. Angel Di Maria pula mempamerkan aksi memukau setanding dengan nilainya selaku pemain termahal bola sepak Inggeris. Juan Mata juga menjaringkan gol. Formasi berlian ini membantu Mata menyerlah.

Namun, sebagai alternatif, aku mahu pemain muda berpotensi Adnan Januzaj untuk menggantikan Mata. Januzaj akan beraksi di sayap kiri. Maka Di Maria akan mengambil tempat Mata di hujung berlian.

-------------------------


Selain formasi 'berlian', Van Gaal juga menggantikan sistem tiga pertahanan dan kembali menggunakan empat pemain untuk menjadi kubu. Rafael baru saja kembali dari kecederaan dan Marcos Rojo beraksi buat kali pertama sejak perpindahan dari Sporting Lisbon selepas menyelesaikan masalah visa. Kedua-duanya beraksi cemerlang.

Begitu juga Tyler Blackett, pemain muda berusia 20 tahun yang merupakan produk akademi Manchester United. Blackett sudah beraksi setiap minit dalam empat perlawanan pertama United musim ini. Walaupun usianya masih muda, permainan Blackett begitu matang dan mendapat kepercayaan Van Gaal sejak aksinya dalam perlawanan pra-musim.

Sebagai alternatif kepada barisan utama ini, aku memilih untuk mengekalkan Blackett dan Rojo. Aku menyingkirkan Evans dan memindahkan posisi Rojo dari bek kiri ke bek tengah. Seorang lagi pemain baru yang masih muda, Luke Shaw (19 tahun), akan mengambil tempat Rojo di bek kiri. Seorang lagi pemain muda yang sedang meningkat, Saidy Janko, aku pilih untuk menjadi alternatif kepada Rafael, dan bukannya Antonio Valencia.



IMU & India: Sistem

Assalamualaikum.

Ada junior sekolah menengah tanya aku tentang sistem pelajaran untuk ijazah perubatan. Dia akan ke India sebagai seorang pemegang biasiswa. Agak sukar sebenarnya nak bercerita tentang sistem kerana lain sekolah perubatan, lain juga sistemnya. Aku ambil contoh program berkembar IMU, Manipal dan PMC. Tiga pilihan yang ada untuk zaman aku dari A-Level di INTEC. Aku sendiri produk program berkembar IMU.

Di IMU, ada sistem yang unik. Agak berbeza dengan di tempat lain. Aku bercerita tahun pertama dulu kerana aku pun baru saja memasuki semester ketiga (tahun kedua). Untuk semester pertama, pelajar perubatan IMU mengambil apa yang dinamakan modul asasi (foundation module). Kami belajar asas-asas dan overview untuk semua sistem badan (yang dibahagikan kepada sembilan: cardiovascular, respiratory, hematology, gastrointestinal, endocrine, reproductive, renal, musculoskeletal, nervous).

Tiada peperiksaan penting untuk semester satu. Tapi peperiksaan One Best Answer (OBA) pula dikira maksima 25% dalam penilaian tahun pertama. Semester kedua kami mula belajar sistem badan. Tiga yang pertama. Baki enam: tiga untuk semester tiga, dan tiga untuk semester empat. Sem kedua kami belajar sistem kardiovaskular, pernafasan, dan hematologi.

Peperiksaan penting semester kedua adalah Objective Structured Physical Examination (teori) dan Objective Structured Clinical Examination (amali). 

Apabila bertemu rakan INTEC yang kini belajar di Manipal baru-baru ini, aku sempat bertanya tentang sistem di sana. Sangat berbeza.

Mereka di sana menggunakan sistem blok yang memecahkan semester (enam bulan) kepada beberapa bahagian. Sistem ini juga sama dengan bidang perubatan di Indonesia (juga ada rakan di sana). Pelajar tahun pertama di Manipal belajar tiga subjek: anatomy, physiology, biochemistry. Mereka belajar tiga subjek itu untuk semua sistem badan. Tahun kedua mereka akan sambung dengan beberapa lagi subjek termasuk pharmacology (tentang dadah). Apa bezanya dengan IMU?

Di IMU, untuk tiga sistem badan dalam setiap semester, kami belajar semua disiplin: anatomy,biochemistry, physiology, pathology, microbiology, pharmacology. Di Manipal pula mereka belajar setiap disiplin dalam semua sistem badan. 

Setakat sembang sambil gelak-gelak, sistem di Ireland juga tak sama dengan IMU. Hampir lebih kurang sama dengan Manipal. Begitulah serba sikit ceritanya. Harap junior boleh bersedia. ^_^




Kembali

Assalamualaikum.

Selamat Hari Malaysia ke-51!

Yeah. Aksi Liga Juara-Juara Eropah kembali malam ni untuk musim baru. InsyaAllah aku dapat tengok malam ni sebab esok pun kelas mula lewat. Pagi tak ada kelas. Kelas mula jam 2 petang. Dapatlah aku menyaksikan bintang-bintang ternama beraksi dalam pertandingan berprestij.

Haih, tapi sedih jugak. Pasukan kesayangan aku tak main musim ni. Manchester United hanya di tempat ketujuh liga musim lepas. Tapi musim ni dijangka akan kembali berada dalam tiga pasukan terbaik dan layak automatik ke Liga Juara-Juara musim depan, dengan izin Allah jua.

Walaupun aku peminat tegar Manchester United, tapi aku tetap minat jugak tengok pasukan lain. Malam ni ada beberapa perlawanan yang aku kira menarik dan aku nak tahu keputusannya. 

LIVERPOOL vs Ludogorets (Kump. B)
JUVENTUS vs Malmo (Kump. A)
REAL MADRID vs Basel (Kump. B)
DORTMUND vs ARSENAL (Kump. D)

Perlawanan yang lain tak menarik sangat dari kaca mata aku. Aku nak tengok Liverpool yang kembali ke pertandingan elit ni lepas berzaman sekadar memerhati. Juventus pulak sepatutnya menang mudah. Real Madrid yang masih bergelut akan berdepan laluan sukar berdepan kelab Switzerland. 

Dortmund v Arsenal. Aku nak tengok aksi dua bekas pemain United yang dijual musim panas lepas. Shinji Kagawa yang kembali ke pangkuan Dortmund untuk memakai jersi nombor 7. Dan Danny Welbeck yang kini menjadi penggempur utama Arsenal.

Kalau aku rajin, aku bangunlah. Tapi memang tak sabar rasanya nak tahu keputusan perlawanan-perlawanan tersebut!



Thursday, September 4, 2014

Anak Kedua - Fakta atau Auta

Assalamualaikum.

Malam semalam belek muka buku (FB), ternampak satu post berkaitan rahsia anak kedua. Rahsia sangat. Tak tahu siapa yang rajin buat kajian. Tapi aku tertarik sebab ada benarnya (beberapa kalaupun tak semua). Nak kongsi sikit apa yang tercatat dalam post tu memandangkan aku anak kedua dari lima adik-beradik. 

Meh, kita tengok. Fakta ke auta?

--------------------

1. ANAK MANJA EMAK
Sebab apa-apa pun mesti dia akan diutamakan oleh ibu. ^_^

Komen: Lalalala~ :D

2. ANAK DEGIL
Anak kedua dikatakan lebih degil, keras kepala dan tidak mendengar kata. Semua dia saja yang betul. Dalam ramai-ramai adik beradik dia saja yang 'ketegaq'. Kemahuan dia kuat. Kalau buat sesuatu sungguh-sungguh. Kalau tak nak tu, tak nak lah jawabnya. Boleh dipujuk tapi selalunya tak berapa jalan.   

Komen: Betul. Tsk tsk.

3. TAK PANDAI PUJUK
Memang anak nombor dua ni dia tak pandai pujuk makwe atau pakwe dia.  

Komen: Auta. Pandai je. Kepakaran. :p

4. BERCINTA
   Dia kalau bercinta, sangat setia. Sanggup berkorban.

Komen: Hakikat. Fakta kukuh.

5. HITAM/PUTIH
  Apa yang dikatakan semua dipegang. Kalau hitam, hitam lah. Kalau putih, putih lah. Degil tak boleh toleransi.

Komen: Betul, tapi sebenarnya boleh toleransi lagi dengan orang tertentu. (state of denial)

6. HATI
Anak nombor dua ni juga nampak je keras. Tapi hati dia lembut. SATU lagi pe’el dia. Dia tak boleh ditegur.   

Komen: Betul betul betul (gaya Upin Ipin)

7. BERDIKARI 
Very independent. Memang betul. Tapi kalau terlebih independent pun payah. Mudah bergaul. 

Komen: Bingo!

8. ARAHAN
 Anak nombor dua ni juga dia payah nak terima arahan. Dia lebih suka buat hal sendiri pendek kata tak boleh kerja dengan orang.  

Komen: Ada betulnya. =.=

9. PEMAAF DAN CARING
Tidak dinafikan anak nombor dua ni pun pemaaf dan caring. Tapi awas, jangan bagi diorang marah kalau diorang marah faham saja lah.   

Komen: Exactly true.

10. PAKAIAN
Nak semua ‘up to date’. Semua nak kemas.

Komen: Yup, aku suka dengan fesyen terkini.

----------------------------

Mungkin ini tak umum untuk semua anak kedua. Dan tak boleh kata semua ni tepat untuk semua anak nombor dua. Tak semua perkara di atas pun betul untuk aku. Tapi banyak yang betul. Bila aku baca, aku mengangguk-angguk tanda mengiyakan walaupun cuba menafikan (state of denial) perkara-perkara negatif. Aku memang degil, susah nak menerima arahan, dan cukup tegas dengan keputusan (hitam/putih).

Tapi aku jugak sorang yang berdikari. Aku boleh bergerak walaupun tak ada kawan-kawan. Sesekali aku suka bergerak sendiri. Tak perlu bergantung pada masa orang lain. Aku pencinta setia. Dan aku sorang yang caring. ^_^

Korang punya adik-beradik yang nombor dua, rasa macam mana? Fakta ke auta?

    


Wednesday, September 3, 2014

Formasi

Assalamualaikum.

Dengan pertambahan enam pemain baru, Louis Van Gaal kini pening kepala memikirkan formasi terbaik untuk menggunakan nama-nama baru dengan sebaiknya. Van Gaal juga perlu membuat keputusan besar untuk menyingkirkan pemain dari skuad utama bagi memberi laluan kepada pemain barunya.

Apakah formasi yang mungkin digunakan dan pemain yang akan beraksi (jika semua pemain cergas dan tiada kecederaan)?

----------------

4-4-2 (impian)


Ini hanya barisan bayangan. Hakikatnya, Van Gaal masih berdegil untuk terus menggunakan formasi 3-5-2 yang digunakan semasa membimbing Belanda ke separuh akhir Piala Dunia.

Dalam formasi 4-4-2 ini, semua pemain baru boleh digunakan (jika tiada sesiapa cedera). Rojo boleh beraksi selaku bek tengah dan tak perlu merampas tempat Shaw yang akan beraksi di posisi bek kiri. Blind dan Herrera akan bergandingan di tengah padang. Di Maria dan Januzaj di bahagian sayap akan memberi sumber gol kepada Falcao ketika Rooney menyokong sedikit di belakang. Formasi ini juga boleh menjadi 4-5-1 (4-2-3-1).

Ini satu-satunya formasi yang memungkinkan Januzaj dalam skuad utama.

Bagi alternatif, Blind atau Rojo boleh menggantikan tempat Shaw. Mata boleh menggantikan tugas Rooney dan Rooney mengambil tempat Januzaj. Robin Van Persie cukup berkaliber untuk berada di tempat Falcao.

--------------------

4-3-3


Dalam formasi 4-3-3, semua penyerang berkelas dunia United dapat beraksi dalam satu pasukan. Tiada perubahan untuk pertahanan dari formasi 4-4-2.

Herrera akan menjadi pemain tengah diapit Blind di kiri dan Di Maria di sebelah kanan. RVP tiada masalah beraksi di sayap kanan untuk membenarkan Falcao menjadi penggempur. Rooney akan menjadi sayap kiri. Pasukan ini juga cukup berbahaya jika serasi bersama dan mendapat persefahaman.

Malangnya, sekali lagi Mata tidak dapat beraksi dalam skuad utama. Sebagai alternatif, Mata boleh beraksi di sayap kiri menggantikan Rooney walaupun peluangnya sangat tipis. Wilson boleh beraksi di tempat Falcao. Dan Januzaj lebih dari mampu jika Blind tidak cergas.

--------------------

3-5-2


Inilah formasi pilihan Van Gaal. Dan jika semua pemain cergas, mungkin ini barisan terbaik yang mampu diletakkan Van Gaal. Tiga pertahanan yang rapuh tetapi akan disokong dua wing-back yang kedua-duanya masih cedera ketika ini. Shaw dan Rafael jauh lebih baik dari Young dan Valencia untuk melindungi benteng.

Blind dan Herrera akan melindungi kubu ketika Di Maria mengambil tempat Mata. Rooney dan Falcao akan menjadi gandingan serangan yang digeruni.

Sebagai alternatif, RVP boleh menggantikan mana-mana penyerang. Mata boleh mengambil tempat Di Maria dan Di Maria menggantikan Blind. Januzaj juga boleh beraksi sebagai alternatif kepada Blind.

---------------------

Apa pun formasi, tiada strategi yang dapat meletakkan Januzaj, Rooney, RVP, Mata, Di Maria, dan Falcao beraksi dalam satu pasukan. Antara mereka perlu ada yang menjadi korban. Memandangkan Rooney adalah kapten United dan Falcao semestinya masuk untuk menjadi penyerang utama, RVP nampaknya perlu memberikan laluan walaupun mempunyai hubungan baik dengan Van Gaal selaku kapten pasukan kebangsaan Belanda.

Begitu juga Mata dan Januzaj yang perlu memberikan laluan kepada Di Maria. Berbanding Mata yang masih belum mencapai tahap prestasi yang diharapkan setimpal nilai perpindahannya dari Chelsea, Januzaj merupakan pemain muda berpotensi yang sewajarnya diberikan pendedahan mencukupi untuk berkembang menjadi Cristiano Ronaldo yang baru.

Permulaan musim baru cukup buruk untuk United dengan hanya dua seri dan satu kekalahan dari tiga perlawanan pertama. Tapi itu hanya menggunakan skuad yang diwarisi dari Moyes. Para pemain baru masih belum beraksi. Shaw dan Herrera cedera. Di Maria hanya beraksi dalam debut menentang Burnley dan mempamer aksi meyakinkan. Rojo masih dalam proses mendapatkan permit bekerja.

Aksi liga berhenti dua minggu untuk memberi laluan kepada aksi antarabangsa dan hanya disambung hujung minggu depan. Satu rahmat bagi United yang senarai kecederaan melebihi 10 orang pemain termasuk Rafael dan para pemain baru. Dengan Blind dan Falcao kini dalam senarai untuk dipilih oleh Van Gaal, dan apabila semua para pemain yang cedera kembali cergas, dan Rojo telah mendapat permit, United pasti kembali mencabar.

United  boleh menang kesemua lima perlawanan sebelum bertemu Chelsea dan Manchester City dalam dua perlawanan berturut-turut pada hujung bulan Oktober. Apabila semua pemain cergas selepas rehat dua minggu, United mempunyai skuad yang cukup mantap untuk memenangi 15 mata untuk memulihkan moral dan semangat mereka. Jika menang mengatasi Chelsea dan City, United akan kembali dalam perebutan kejuaraan liga.

Dan apabila bertemu Liverpool pada bulan Disember nanti, para pemain baru United pasti sudah menemui persefahaman dan keserasian untuk mengatasi musuh tradisi.



Syaitan Merah Baru

Assalamualaikum.

Kelab bola sepak Manchester United berbelanja besar dalam jendela perpindahan kali ini untuk mengukuhkan skuad yang rapuh dan tak cukup bagus untuk mencabar kejuaraan liga selepas hanya mendapat tempat ketujuh musim lepas. Dengan faktor Louis Van Gaal, United berjaya mendapatkan enam pemain baru (hanya seorang pinjaman) termasuk dua orang bintang bertaraf dunia yang terbukti antara pemain elit generasi ini. 

Siapakah mereka dan apakah kualiti yang dibawa? Senarai nama di bawah mengikut turutan mereka dibeli.

---------------------------------------

1. ANDER HERRERA
 Posisi: Pemain tengah
Nombor jersi: 21
Umur: 25 tahun
Kelab lama: Athletic Bilbao (Sepanyol)
Tarikh menyertai: 26 Jun

Herrera akan mengemudi jentera tengah United dan menunjukkan potensi dalam perlawanan pra-musim. Herrera kali pertama mencuri tumpuan United apabila mengawal bahagian tengah ketika Bilbao bertemu United. Walaupun mungkin tak setaraf Toni Kroos yang ke Real Madrid dari Bayern Munich, Herrera jauh lebih bagus dari Michael Carrick, Marouane Fellaini, Darren Fletcher, dan Anderson. Prestasi buruk United musim lepas adalah kerana ketiadaan pemain tengah yang berkaliber dan Herrera ialah pemain yang sesuai untuk memperbetul masalah itu.

---------------------------------

2. LUKE SHAW
Posisi: Bek kiri
Nombor jersi: 3
Umur: 19 tahun
Kelab lama: Southampton
Tarikh menyertai:  27 Jun

Shaw adalah masa depan England dan United. Pada usia 18 tahun, Shaw telah menjadi pemain utama Southampton musim lepas. Keupayaan Shaw terbukti dengan mengunci pergerakan Adnan Januzaj ketika bertemu United hujung musim lepas. Belum pun mencecah usia 20 tahun, Shaw berpotensi untuk menjadi bek kiri terhebat dunia jika perkembangannya di bawah bimbingan Van Gaal tidak diganggu kecederaan. Jika bebas kecederaan, Shaw akan menjadi watak utama dalam kejayaan United membina semula empayar.

----------------------------------------

3. MARCOS ROJO
  Posisi: Pertahanan
Nombor jersi: 5
Umur: 24 tahun
Kelab lama: Sporting Lisbon
Tarikh menyertai: 20 Ogos

Nama Rojo tiba-tiba menjadi sebutan apabila beraksi cemerlang dalam kempen Piala Dunia 2014 di Brazil ketika membantu Argentina mara ke final. Lebih hebat dari itu, Rojo juga tersenarai dalam kesebelasan terbaik Piala Dunia. Selepas kehilangan Nemanja Vidic, Rio Ferdinand, dan Patrice Evra, Rojo akan membantu menguatkan semula benteng yang sangat rapuh. Walaupun tidak sehebat Mats Hummels yang gagal dibeli dari Borussia Dortmund, Rojo boleh beraksi sebagai bek tengah dalam sistem empat pertahanan atau bek kiri dalam sistem tiga pertahanan.

-------------------------------------

4. ANGEL DI MARIA 
 Posisi: Pemain tengah
Nombor jersi: 7
Umur: 26 tahun
Kelab lama: Real Madrid
Tarikh menyertai: 26 Ogos

Di Maria adalah nama besar dalam bola sepak generasi ini. Kehadiran Gareth Bale dan James Rodriguez memaksa Di Maria meninggalkan Real Madrid untuk rasa dihargai. Di Maria mencipta gol paling banyak musim lepas di benua Eropah. United sangat memerlukan pemain berkarisma seperti Di Maria yang boleh beraksi di pelbagai posisi dalam jentera tengah. Di Maria boleh bergandingan dengan Herrera di tengah padang. Atau dia juga boleh beraksi sebagai sayap kanan. Van Gaal boleh menukar sistem ketika dalam permainan kerana Di Maria juga boleh menjadi wing-back dan pemain tengah menyerang. Kualiti Di Maria akan membantu mencipta gol untuk jentera serangan United.
-----------------------------------------

5. DALEY BLIND
  Posisi: Pertahanan/pemain tengah
Nombor jersi: 17
Umur: 24 tahun
Kelab lama: Ajax Amsterdam
Tarikh menyertai: 1 September

Seperti Rojo, Blind juga beraksi cemerlang dalam Piala Dunia 2014 ketika membantu Belanda mara ke separuh akhir sebelum tewas kepada Argentina dalam penentuan sepakan penalti. Blind seorang pemain yang versatil dan mampu beraksi di beberapa posisi. Blind boleh beraksi sebagai pertahanan dalam sistem 3-5-2, bek kiri, atau pemain tengah bertahan. Van Gaal dijangka akan menggunakan Blind sebagai pemain tengah untuk bergandingan dengan Herrera. Blind membantu Ajax menjuarai Eredivisie musim lepas dan merupakan pemain terbaik bola sepak Belanda yang baru ditabalkan. Kelebihan Blind adalah dia pernah beraksi di bawah bimbingan Van Gaal di Ajax dan juga pasukan kebangsaan Belanda dalam Piala Dunia. Blind sangat memahami permainan taktikal Van Gaal.
--------------------------------------

6. RADAMEL FALCAO
  Posisi: Penyerang
Nombor jersi: 9
Umur: 28 tahun
Kelab: AS Monaco (pinjaman)
Tarikh menyertai: 2 September

Penyerang berkualiti dan antara peledak terbaik dalam generasi ini. Tidak seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi yang turut mencipta gol, Falcao hanya tahu melaksanakan tugas utamanya selaku penggempur: menjaringkan gol. Rekod jaringannya sangat hebat selepas beraksi dalam liga-liga utama Eropah dan tetap hebat. Penyerang prolifik ini sebelum ini beraksi untuk Porto (Portugal), Atletico Madrid (Sepanyol), dan Monaco (Perancis). Falcao ialah peledak yang sudah terbukti dan akan meneruskan statusnya selaku salah seorang penyerang terbaik dunia.

-------------------------------

Keseluruhannya, ranking perpindahan United musim ini:

1. Falcao
2. Di Maria
3. Blind
4. Rojo
5. Shaw
6. Herrera


Tuesday, September 2, 2014

Drama Penghujung

Assalamualaikum.

Semalam Isnin. Hari yang paling tak disukai para pekerja di Kuala Lumpur biasanya. Tapi bukan semalam. Semalam cuti rasmi. Semalam 1 September. Okey, bukan itu ceritanya.

Semalam adalah hari besar bagi para peminat Liga Perdana Inggeris amnya dan peminat setia Manchester United khususnya. Memang berkobar-kobar nak tengok pemain mana yang sempat disambar sebelum jendela perpindahan ditutup. Banyak desas-desus dengan nama-nama besar.

Sebelum semalam, persetujuan dengan Ajax telah berjaya dicapai untuk mendapatkan Daley Blind. Tapi Blind perlu menyempurnakan pemeriksaan perubatan. Selain Blind, banyak nama lain yang dikaitkan dalam khabar angin. Radamel Falcao, Arturo Vidal, William Carvalho, Nigel Di Jong. Aku teruja untuk United mendapatkan Falcao yang berkelas dunia dan seorang pemain tengah. Sekurang-kurangnya De Jong kalaupun bukan Vidal yang enggan dijual Juventus.

Sayangnya, pemain tengah bertahan gagal disambar.

Sampai aku tidur pukul 1 pagi malam tadi (enam petang waktu UK), Blind dan Falcao masih belum diumumkan sah menjadi pemain United lagi oleh laman web rasmi kelab. Cuak jugak. Blind tak ada masalah sebab tinggal pemeriksaan perubatan saja. Falcao ni adalah percubaan saat akhir. Khabar angin mengatakan Arsenal dan Manchester City juga berminat mendapatkan khidmatnya. Bila pesawat peribadi dah sampai, ada pulak desas-desus mengatakan Falcao gagal pemeriksaan perubatan. 

Sebenarnya, aku kurang risau kerana aku mengikuti perkembangan Falcao melalui beberapa sumber perpindahan di Twitter yang lebih pantas dari media besar (BBC, Sky Sport, dan ESPN). 

Aku bangun pagi tadi dan Blind sudah diumumkan rasmi menjadi pemain United. Tapi masih tiada khabar mengenai Falcao. Berita Blind disiarkan pada pukul 8.30 malam di UK (3.30 pagi waktu Malaysia), ketika aku sedang tidur. Aku pergi kelas pukul 8 pagi dengan Falcao masih menjadi tanda tanya. Aku risau kerana jendela perpindahan sudah ditutup jam 11 malam waktu UK (enam pagi waktu Malaysia).

Selepas kelas (jam 9 pagi), aku periksa Twitter lagi dan......... SAH! Berita Falcao menyertai United sudah disiarkan. Berita diterbitkan di laman web rasmi pada jam 8.30 pagi di Malaysia (1.30 pagi di UK). Fuhh, lewat. Sungguh lewat. Dua jam selepas jendela perpindahan ditutup.

Ini kerana kelewatan pesawat Falcao tiba di Manchester. Hanya pemeriksaan perubatan yang perlu dilengkapkan ketika semua dokumen sudah selesai. United meminta sedikit lanjutan masa untuk menyiapkan semua urusan yang perlu. Kebenaran diberikan seiring dengan Arsenal yang juga meminta tempoh lanjutan kerana membuat aktiviti saat akhir membeli Danny Welbeck dari Manchester United.

Jual Welbeck dan beli Falcao. So much win.



Glory Glory Manchester United

Assalamualaikum.

Sepanjang bulan lepas, susah untuk menjadi penyokong setia kelab Manchester United. Menjadi bahan jenaka dan modal lawak yang menyakitkan hati sudah menjadi kelaziman. Kegagalan United mencatat kemenangan pertama dalam liga selepas tiga perlawanan menekan peminat plastik untuk menjadi 'lalang'. United hanya memungut dua mata dari maksima sembilan mata.

Yes, it is hard to be loyal fans in this difficult time.

Tapi sejak seminggu lepas, sinar gemilang untuk United mula kelihatan. 

---------------------------

Perpindahan masuk dan keluar?

Jendela perpindahan ditutup secara rasminya malam tadi. Selepas tiga bulan, Manchester United berjaya mendapatkan enam pemain baru, lima secara tetap dan satu pinjaman.

Pertahanan: Luke Shaw, Marcos Rojo
Pemain tengah: Ander Herrera, Daley Blind
Penyerang: Angel Di Maria, Radamel Falcao (pinjaman)

Musim perpindahan kali ini boleh dikira satu kejayaan bagi Ed Woodward yang dikritik hebat selepas kegagalan membawa masuk ramai pemain musim lepas. Kejayaan Woodward kali ini wajar disandarkan kepada pengurus baru yang berjaya dan disegani, Louis van Gaal. Apabila bersama David Moyes, Woodward gagal menarik nama-nama besar untuk menyarung jersi United.

Hakikatnya, dalam ucapan pertama mereka, semua pemain baru menyatakan peluang untuk beraksi di bawah bimbingan van Gaal adalah faktor utama mereka menerima tawaran United. Kebanyakan mereka rela melupakan aksi di pentas berprestij Eropah, Liga Juara-Juara. Faktor kedua, mereka ingin bersama mengembalikan semula Manchester United di persada liga selepas kejatuhan pasca era Alex Ferguson.

United memulakan musim perpindahan dengan meyakinkan, mendapat Ander Herrera dan Luke Shaw. Kemudian, aktiviti perpindahan mula senyap dan meresahkan peminat setia. Akhirnya, di penghujung jendela perpindahan, Woodward mengotakan janjinya untuk melaburkan wang dan membawa pemain-pemain ternama. Selepas Marcos Rojo, tiga lagi pemain dibawa masuk. Angel Di Maria memecahkan rekod perpindahan termahal Britain. Dan hari terakhir, Daley Blind dan Radamel Falcao melengkapkan skuad United yang sedang dalam pembinaan semula.

Apabila ramai pemain baru masuk, beberapa nama terpaksa disingkirkan selepas gagal meyakinkan van Gaal. Mereka meninggalkan ruang yang diisi pemain baru. Shinji Kagawa kembali semula ke kelab lamanya selepas titik hitam dalam karier di Manchester. Kagawa akan memakai jersi nombor tujuh di Borussia Dortmund. Danny Welbeck pula melengkapkan perpindahan lewat malam tadi walaupun melewati masa tamat musim perpindahan (bersama Falcao). Welbeck akan beraksi untuk musuh tradisi United, Arsenal.

Pemain skuad utama, Wilfried Zaha gagal mendapatkan tempat dalam perancangan van Gaal dan dipinjamkan ke kelab lamanya, Crystal Palace. Javier Hernandez pula lebih bertuah apabila dipinjamkan ke kelab gergasi La Liga Sepanyol dan juara bertahan Liga Juara-Juara Eropah, Real Madrid. Pemain skuad remaja yang dipinjamkan termasuk Michael Keane ke Burnley dan Nick Powell ke Leicester City. Tom Cleverley gagal melengkapkan perpindahan ke Everton lewat malam tadi.



Monday, September 1, 2014

Bola Sepak dan Kejutan

Assalamualaikum.

Sukan bola sepak dan kejutan, adalah buddyz. Takkan terpisah.

Money can't buy everything. Money can't guarantee success in football. Ada empat kejutan melibatkan empat pasukan gergasi dalam dua liga utama yang gagal mengatasi pasukan kerdil.

Manchester United 0-0 Burnley (EPL)
Manchester City 0-1 Stoke City (EPL)
Arsenal 1-1 Leicester City (EPL)
Real Madrid 2-4 Real Sociedad (La Liga)

Kegagalan Manchester United dan Arsenal untuk mengatasi pasukan yang baru menyertai EPL wajar difahami kerana kekurangan dalam pasukan masing-masing. Tetapi skuad penuh bintang Manchester City dan Real Madrid tewas, keputusan yang tak dapat diterima.

Manchester United kini bergelut untuk mencatat kemenangan pertama dalam musim baru. Louis van Gaal mewarisi skuad yang tak cukup bagus untuk bersaing dari David Moyes dan terpaksa berbelanja besar-besaran dalam pasaran perpindahan untuk menguatkan skuad. Debut Angel Di Maria menjanjikan sinaran buat peminat United. Apabila semua bintang baru termasuk Luke Shaw, Ander Herrera, Marcos Rojo, Di Maria, dan Daley Blind telah mendapat keserasian, United akan bersaing untuk slot Liga Juara-Juara Eropah.

Manchester City tak berbelanja besar tetapi menguatkan pasukan dengan kehadiran Fernando, Bacary Sagna, dan Willy Caballero. Juara bertahan ini mempunyai dua pasukan yang cukup perkasa untuk menumbangkan mana-mana pasukan dalam liga. Tetapi mereka tersungkur di laman sendiri. Jaringan Mame Biram Diouf cukup untuk memberi amaran kepada City: duit bukan segala-galanya.

Arsenal satu lagi pasukan besar dengan kelemahan ketara. Walaupun telah layak ke Liga Juara-Juara sekali lagi selepas melalui pusingan play-off, tak dapat dinafikan Arsenal kekurangan sumber di jentera serangan. Hanya Olivier Giroud dan Yaya Sanogo, dengan Giroud kini cedera. Satu gandingan yang tak cukup menggerunkan. Arsenal terpaksa mengharapkan jentera tengah untuk gol, dan pemain baru, Alexis Sanchez menjaringkan gol dalam perlawanan kedua berturut-turut. Sayangnya, gol Sanchez tak mencukupi untuk membantu Arsenal mengalahkan Leicester.

Real Madrid menjual Angel Di Maria dna Xabi Alonso. Dan membeli permata Piala Dunia, Toni Kroos dan James Rodriguez. Bertemu Sociedad, Madrid mendahului 2-0 dalam masa dua minit menerusi gol Sergio Ramos dan Gareth Bale. Tanpa Cristiano Ronaldo, kebangkitan Sociedad terlalu sukar untuk disekat Madrid. Pasukan ini sarat dengan bintang ternama. Malang sekali, duit bukanlah jaminan kejayaan. 



Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif