Welcome To My Life...

Monday, October 30, 2017

Tersalah Diagnosis

Assalamualaikum.

Ada orang yang mempersoalkan tentang konsultasi dengan doktor yang berjalan secepat lima minit dan tidak memakan masa yang lama. Sebenarnya, seorang doktor belajar lima tahun untuk melakukan diagnosis sepantas itu.

Namun, ilmu seorang doktor tetap terbatas. Dia perlu belajar sepanjang hayatnya dari pengalaman. Dan ada juga doktor yang tidak belajar banyak sepanjang lima tahun itu.

-----------------------------

Minggu lepas, penulis telah melihat satu kes yang menarik perhatian di wad pembedahan. Kes yang sangat mengecewakan. Kesilapan yang boleh dielakkan.

Seorang remaja lelaki yang masih bersekolah menengah mengalami sakit di bahagian karung buah zakar (scrotum) pada hari Sabtu. Bahagian itu membengkak. Dia dibawa ibunya ke klinik swasta dan diberikan ubat tahan sakit, dan ubat antibiotik. Diagnosis yang diberi: jangkitan kuman (epididymo-orchitis).

Nasibnya tak bertambah baik. Bengkak dan sakit di bahagian buah zakarnya (sebelah kanan) berterusan. Hanya pada hari keempat (Selasa), dia menyedari bengkak semakin teruk pada sebelah pagi. Sekali lagi dibawa ke klinik swasta (yang lain) dan dirujuk ke hospital besar dengan diagnosis ?hydrocele (doktor tidak pasti).

Ujian air kencing urine for full examination and microscopic examination (UFEME) menunjukkan keputusan negatif. Selepas diterangkan kepentingan ultrasound dalam mencari punca bengkak buah zakar anaknya kepada si ibu, pesakit dihantar untuk menjalani ujian ultrasound scrotum and testes.

Keputusan diberitahu melalui telefon kepada doktor pelatih yang bertugas, yang merujuk kepada pegawai perubatan. Pesakit dihantar serta-merta ke dewan bedah.

------------------------------

Testicular torsion adalah satu kecemasan pembedahan (surgical emergency). Masa maksima dari kehadiran pesakit dengan simptom sakit ke pembedahan adalah tiga jam. Ya, TIGA JAM saja!

Pesakit tadi telah tertangguh pembedahannya kerana kegagalan doktor di klinik swasta untuk mengesan diagnosis testicular torsion. Apa akibatnya kepada remaja lelaki tadi?

Right orchidectomy dan left orchidopexy. Buah zakar kanannya terpaksa dibuang kerana sudah tidak dapat diselamatkan lagi dan untuk mengelakkan jangkitan kuman. Buah zakar kirinya pula disangkut pada tiga titik untuk mengelakkan testicular torsion berulang lagi di sebelah kiri pula. Kini buah zakar yang akan membekalkan sperma bagi meneruskan generasinya hanya tinggal sebelah.

Pilihan yang ada baginya sekarang adalah untuk meletakkan implan buah zakar. Pastinya psikologi remaja ini akan terkesan kerana dia sudah kekurangan sebelah buah zakar. Tersalah diagnosis boleh memberi akibat yang sangat buruk kepada pesakit. Doktor yang tidak kompeten seperti ini tidak selayaknya berada di primary care di mana orang ramai akan mendapatkan pandangan perubatan paling awal sebelum dirujuk ke mana-mana pusat perubatan.

Malang sekali bagi remaja tadi, dia menjadi mangsa.

Keyboard off.



Sunday, October 22, 2017

Kali Pertama

Assalamualaikum.

Sebaik saja tamat suku keempat perlawanan semalam, maka bersyukurlah para peminat yang menonton dengan penuh debaran. Jarang sekali melihat pasukan Malaysia beraksi dalam perlawanan akhir di peringkat yang tinggi.

Malah sebagai fakta, pasukan negara tidak pernah ke final Piala Asia sejak tahun 1982. Selepas 35 tahun, akhirnya tembok tinggi itu runtuh jua.

Perjalanan skuad hoki kebangsaan Malaysia atau dikenali dengan nama jolokan 'Speedy Tigers' tidak semudah yang diharapkan. Malaysia bermula dengan sangat gemilang. Berstatus pasukan kedua terbaik benua Asia pada ketika ini di ranking ke-13 dunia (India di ranking ke-12), Malaysia mengungguli kumpulan B dalam kejohanan lapan pasukan ini.

Malaysia memulakan pertandingan edisi 2017 dengan langkah kanan apabila membelasah skuad China 7-1. Seterusnya, dalam perlawanan kedua yang penting untuk menentukan juara kumpulan, Malaysia menumbangkan Korea Selatan yang juga juara bertahan edisi 2013, dengan keputusan 2-1. Perlawanan terakhir tidak memberi masalah dengan Speedy Tigers menang mudah 7-1.


------------------------------

SUPER 4's

Jika mengikut mana-mana format pertandingan lain, dua pasukan teratas kumpulan akan terus layak ke separuh akhir. Namun format kejohanan ini berbeza. Dua pasukan teratas dalam dua kumpulan yang ada akan bersaing lagi dalam kumpulan yang dipanggil Super 4's dengan format round robin (semua pasukan akan bertemu sekali). India dan Pakistan dari kumpulan A serta Malaysia dan Korea Selatan dari kumpulan B. Juara dan naib juara kumpulan akan ke perlawanan akhir merebut Piala Asia. 

Perlawanan pertama, Malaysia bangkit dari ketinggalan untuk menang tipis 3-2 ke atas Pakistan. Kemenangan ini sangat penting dengan mengambil kira keputusan perlawanan seterusnya. Perlawanan ini sangat sengit sehingga seorang pemain Malaysia patah empat batang gigi kerana disiku pemain Pakistan. India dan Korea Selatan terikat 1-1 dalam perlawanan lain.

Mungkin kerana terlalu keletihan dengan jadual, pasukan Malaysia dibelasah dalam perlawanan kedua, tewas 2-6 kepada India. Korea Selatan gagal menewaskan Pakistan, dengan kedudukan terikat 1-1. 

Memasuki perlawanan terakhir, India sudah pasti ke final. Malaysia perlu sekurang-kurangnya seri dengan Korea Selatan untuk melangkah ke perlawanan akhir buat kali pertama dalam sejarah. Korea Selatan lebih tertekan. Selain menggalas bebanan harapan selaku juara bertahan Piala Asia, mereka juga masih gagal layak ke Piala Dunia 2018. Satu-satunya cara untuk mereka layak mewakili benua Asia adalah dengan menjadi juara, tiada cara lain. Tekanan besar untuk ditanggung!

Semalam memang penuh getir. Perlawanan yang sepatutnya bermula jam 5 petang waktu Malaysia terpaksa ditangguhkan ke jam 10 malam kerana hujan lebat di Bangladesh. Kemudian, perlawanan ditangguh lagi ke jam 11.30 malam waktu Malaysia. Lebih 6 jam lewat berbanding jadual asal. Tekanan di bahu pemain kedua-dua pasukan tidak tertanggung lagi.

Korea Selatan mendahului Malaysia awal menerusi pukulan sudut penalti tunggal mereka yang disempurnakan dengan cemerlang. Malaysia pula gagal menyudahkan pukulan sudut penalti yang dimiliki. Kedudukan 1-0 memihak Korea Selatan kekal sehingga tamat tiga suku masa, dan juga sehingga hujung masa permainan di suku keempat. 

Jurulatih negara, Stephen Van Huizen membuat keputusan berani dengan mengambil risiko besar untuk mengeluarkan penjaga gol, S. Kumar, kerana Malaysia memerlukan satu gol untuk seri. Pemain Korea Selatan selesa bertahan kerana mereka mesti menang untuk mara ke perlawanan akhir dan menghidupkan peluang ke Piala Dunia. Pada dua minit terakhir, Malaysia bermain 'power play' tanpa penjaga gol. 

Akhirnya, pukulan sudut penalti kedua yang dicari-cari tiba juga. Debaran bagi peminat Malaysia kerana ini satu-satunya peluang untuk menjaringkan gol bagi keputusan seri. Pakar pukulan sudut penalti, Faizal Saari, menjadi wira apabila pukulannya terbias penjaga gol sebelum menyentuh jaring untuk menghantar Malaysia ke final. Hanya dua minit memisahkan Korea Selatan, dan hanya satu gol yang dimahukan Malaysia. Tuah berpihak kepada Malaysia. 

------------------------------

Ketika skuad bola sepak Harimau Malaysia masih belum bangkit dari tidur mereka yang panjang, skuad hoki negara Speedy Tigers terus mengharumkan nama Malaysia di peta dunia. Negara-negara gergasi hoki dunia kini menghantar pemain mereka untuk menimba ilmu di liga hoki Malaysia. 

Malaysia sudah layak secara merit ke Piala Dunia 2018, dan di Bangladesh malam ini, mungkin melakar sejarah menjuarai Piala Asia buat kali pertama sebagai penanda aras baru sukan hoki di Malaysia. Tahniah Stephen Van Huizen dan anak-anak buahnya. Siapa tahu kita bisa? 

Kita masih bermimpi. Dream on!

Keyboard off.



Thursday, October 19, 2017

UCL 17/18 #3

Assalamualaikum.

Perlawanan ketiga peringkat kumpulan. Sudah separuh perjalanan sebelum dua pasukan dari setiap kumpulan layak ke pusingan kalah mati. 

KUMPULAN A
Benfica 0-1 Manchester United
CSKA Moscow 0-2 Basel

KUMPULAN B
Bayern 3-0 Celtic
Anderlecht 0-4 Paris Saint-Germain

KUMPULAN C
Chelsea 3-3 Roma
Qarabag 0-0 Atletico Madrid

KUMPULAN D
Juventus 2-1 Sporting Lisbon
Barcelona 3-1 Olympiacos

KUMPULAN E
Maribor 0-7 Liverpool
Spartak Moscow 5-1 Sevilla

KUMPULAN F
Feyenoord 1-2 Shakhtar
Manchester City 2-1 Napoli

KUMPULAN G
Leipzig 3-2 Porto
Monaco 1-2 Besiktas

KUMPULAN H
Real Madrid 1-1 Tottenham
APOEL 1-1 Dortmund

-------------------------------------

Dua pasukan pelawat menang dalam kumpulan A. Manchester United menang tipis di Portugal apabila penjaga gol muda melakukan kesilapan. Basel pula membenam cabaran CSKA Moscow di Rusia. Dua pasukan gergasi dalam kumpulan B mencatat kemenangan mudah. Bayern Munich meneruskan kecemerlangan di bawah pengurus baru dengan menundukkan Celtic (Scotland) di Jerman. Paris Saint-Germain pula menang di Belgium dengan trio emas Kylian Mbappe, Edinson Cavani, dan Neymar meledak satu jaringan.

Dua keputusan seri dalam kumpulan C. Pertembungan antara dua pasukan teratas di Stamford Bridge menyaksikan perlawanan menarik dengan Eden Hazard dan Edin Dzeko masing-masing menjaringkan dua gol. Atletico Madrid pula menghadapi masalah besar apabila hanya mengutip satu mata menentang kelab Azerbaijan.

Dua pasukan gergasi kumpulan D juga tidak mensia-siakan peluang untuk mengutip mata penuh, masing-masing di tempat sendiri. Juventus memerlukan tandukan lewat Mario Mandzukic untuk mengatasi kelab Portugal. Barcelona lebih selesa membenam kelab Greece dengan Lionel Messi menjaringkan gol ke-100 peribadi dalam pertandingan ini.

Dua kemenangan besar berlaku dalam kumpulan E dengan Liverpool membedil Maribor di Slovenia manakala Spartak Moscow membenam cabaran kelab Sepanyol di Rusia. Dalam kumpulan F, Shakhtar berjaya mencatat kemenangan tipis di Belanda. Manchester City pula membuktikan keunggulan apabila menundukkan Napoli (Itali) yang memulakan musim ini dengan cemerlang.

Kelab Jerman, Leipzig, menumbangkan kelab Portugal di gelanggang mereka sendiri. Nasib berbeza pula untuk Monaco di gelanggang mereka apabila tewas kepada pelawat dari Turki, dalam kumpulan yang sama. Kedua-dua perlawanan kumpulan F berakhir dengan keputusan seri satu sama. Perlawanan tumpuan Real-Spurs menyaksikan Tottenham berjaya mencuri satu mata dari Santiago Bernabeu.

Kesimpulan:
1. Manchester United selesa dengan rekod 100%.
2. Bayern Munich kembali garang di bawah Jupp Heynckes.
3. Trio Mbappe-Cavani-Neymar sukar disekat.
4. Atletico Madrid dalam masalah besar.
5. Manchester City antara yang terbaik di Eropah.

Keyboard off.



Wednesday, October 18, 2017

9+1

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, selepas sekian lama penulis berhasrat untuk membaca novel-novel, akhirnya hajat ini ditunaikan oleh Allah. Kebetulan penulis ada wang sendiri untuk membeli buku-buku ini. 


TOMBIRUO: PENUNGGU RIMBA
SEMANGAT HUTAN
TOMBIRUO TERAKHIR

Sebaik saja promosi filem adaptasi dari novel ini begitu rancak di segenap pelosok alam buana, penulis terus berminat untuk membaca karya yang dihasilkan oleh penulis thriller terkenal di Malaysia, Ramlee Awang Murshid. Maka penulis terus tempah trilogi Tombiruo.

Penulis hanya membelek novel pertama (Penunggu Rimba) setelah selesai menonton filem di pawagam. Bolehlah penulis katakan bahawa filem adaptasi itu telah digarap sedikit jauh dari versi novel. Latar tempat dalam filem tidak kena dari sudut geografi dan hanya beberapa watak penting seperti Tombiruo, Pandolou, Amiruddin, Wan Suraya, dan Monsiroi saja yang diambil terus dari novel.

Versi filem itu juga hanya diolah dari novel pertama (Penunggu Rimba). Mungkin nanti ada sekuel untuk menterjemah pula novel kedua dan seterusnya novel 'Tombiruo Terakhir'.


ASRAMA dan ASRAMA:2 (Muhammad Fatrim)
GANTUNG dan GANTUNG:2 (Nadia Khan)

Fixi adalah satu penerbitan novel-novel indie yang tidak terikat dengan gaya bahasa berbunga-bunga dan formal. Gaya penulisan agak santai dan kasar. Semasa zaman sekolah menengah dulu, penulis pernah membaca novel 'Asrama' yang dibeli oleh kakak penulis. Jalan ceritanya agak menarik pada pandangan penulis.

Selepas beberapa tahun, barulah diberi kesempatan lagi untuk membeli novel Fixi sempena #mycybersale2017 yang memberikan promosi kombo (tiga novel untuk satu harga runtuh termasuk kos pos). Kebetulan juga sambungan 'Asrama' iaitu 'Asrama:2' diterbitkan tahun ini.

Penulis memilih untuk membeli sekuel Asrama dan juga dua novel karangan Nadia Khan. Berlaku sedikit kesilapan teknikal apabila Gantung dan sekuelnya sampai bersama novel 'Asrama' (bukan 'Asrama:2' seperti yang dipesan). Kredit kepada pihak Fixi yang mengepos naskhah yang betul seperti yang dikehendaki tanpa banyak kerenah.

Maka penulis mendapat satu buku percuma. Buy 3 free 1.


GELAP (Ariff Adly)
RAHSIA (Faizal Sulaiman)
LENDU (Blue)

MyCyberSale hanya berlangsung dari 9-13 Oktober. Pada hari terakhir promosi, penulis memilih untuk membeli satu lagi set kombo. Selepas jenuh membelek semua judul yang pernah diterbitkan oleh Fixi, maka penulis memilih tiga judul di atas. 'GELAP' dengan genre misteri dan psikotik yang telah dicetak semula banyak kali sejak tahun 2013.

'LENDU' yang mula dicetak awal tahun ini telah pun mencapai cetakan keempat. Ianya dikatakan diari seseorang bernama 'Blue'. Penulis rasa ianya tentang legenda misteri UiTM kampus Lendu yang terkenal. Judul ketiga pilihan penulis adalah 'RAHSIA' yang baru saja diterbitkan pada bulan Julai 2017 dan telah diulang cetak. Sinopsisnya menarik tentang rahsia silam, dan reviu tentang novel ini juga memuaskan.

-------------------------

Ada 9 novel baru yang penulis akan baca, selain satu novel percuma yang ditambah ke koleksi kerana kesilapan teknikal. Mungkin selepas ini, jika ada kesempatan, penulis berminat untuk membeli judul-judul berikut dari Fixi.

Trilogi 'MURTAD': Murtad, Tuhan, Qisas (Hasrul Rizwan)
Trilogi 'NOTA': Nota, Nota:2, Nota:3 (Shaz Johar)
'PARANORMAL' dan 'PARANOIA' (Hani Suraya)
'KELABU' (Nadia Khan)

Penulis suka sinopsis tentang novel-novel itu tetapi kerana kekangan batas kombo, mungkin di lain masa boleh didapatkan.

Keyboard off.


Tuesday, October 17, 2017

Hari Ini Masuk OT

Assalamualaikum.

Minggu ini penulis memasuki rotation baru dalam tahun akhir: Surgery (Pembedahan). Penulis akan berada di wad-wad pembedahan bagi melihat pesakit-pesakit yang akan melibatkan disiplin ini bagi apa sebab sekalipun. 

Selepas ward round dengan legenda IMU, Dato K, penulis dan ahli kumpulan yang lain pulang ke kampus kerana kami ada kelas simulasi Operation Theatre (OT). Secara mudahnya, OT atau Dewan Bedah ni adalah tempat pesakit dibedah.

Masih di minggu pertama, kami tiada idea bagaimana kelas ini akan dikendalikan. Sebaik saja tiba Unit Skil Klinikal, kami diminta untuk memakai set pakaian dalam dewan bedah. Gambar seperti di bawah. Gambar untuk kenangan di masa depan.



Sesi ini di bawah seliaan pakar bius, Prof T. Posting bius (anesthesia) diselitkan dalam posting pembedahan kerana saling berkaitan. Doktor-doktor bius ini bukan saja bertugas untuk menidurkan pesakit di dalam dewan bedah, sebaliknya tugas mereka bermula sebelum pesakit ditolak ke dewan bedah lagi.

Doktor-doktor bius ini akan memastikan pesakit mampu untuk menjalani pembedahan (fit for op). Mereka akan melakukan penilaian awal. Di hari pembedahan, mereka akan menjalankan tugas sebelum pakar bedah melakukan pembedahan. Pada sesi ini, kami diajar bagaimana untuk menjaga keselamatan pesakit sebelum, semasa, dan selepas pembedahan.

Setiap pagi pada hari pembedahan, doktor bius akan memeriksa mesin general anaesthesia di dalam dewan bedah, dan menyediakan ubat-ubat yang diperlukan untuk memberikan bius kepada pesakit agar pesakit tidak merasa sakit sepanjang pembedahan.

Kemudian, doktor bedah ini akan melakukan pre-op assessment kepada pesakit di luar mengikut senarai semak agar tidak berlaku sebarang kesilapan. Ini adalah salah satu ciri untuk memastikan keselamatan pesakit terpelihara.


Pada sesi ini, kami melakukan simulasi untuk situasi dalam dewan bedah menggunakan patung (mannequin). Kami diberikan peranan-peranan lebih awal sebelum proses simulasi bermula kerana kami akan melakukan role play seperti pasukan di dewan bedah. Antara watak yang dimainkan ialah receiving nurse, medical officer anesthesia, general anesthesia nurse, circulating nurse, dan medical officer. Penulis diberi watak pakar bedah (surgeon).

Sesi ini sangat bermanfaat bagi kami menyegarkan semula ilmu di dewan bedah sebelum memasuki dewan bedah. Tidaklah kami jadi seperti rusa masuk kampung. Sesi ini juga memberi input baru bagi kami tentang bius. Ia sama penting kepada pesakit seperti juga pembedahan walaupun mereka dilihat sebagai satu figura yang melelapkan pesakit dan tidak lebih daripada itu.

Sebenarnya, tugas mereka lebih banyak.



Sunday, October 15, 2017

Tombiruo Pahlawan Rimba

!!Assalamualaikum.

Dia bukan legenda, dia wujud di alam nyata.

Tombiruo bermakna roh/hantu dalam bahasa Kadazan-Dusun. Memetik pengenalan dari novel Tombiruo (karya Ramlee Awang Murshid), "Suku kaum Murut memanggilnya Alingu, kaum Bajau memanggilnya Mangat, suku kaum Brunai memanggilnya Ranggau, manakalah orang-orang Cina memanggilnya Kui"

TOMBIRUO
Rating penulis: 9/10

AMARAN!!
Spoiler
Spoiler
Spoiler






---------------------------------

Ini adalah plot filem.

KELAHIRAN 'TOMBIRUO'
Permulaan cerita, seorang 'bobolian' (wanita) menyampaikan kisah bagaimana pada satu masa yang lampau, dia telah menyambut kelahiran raja rimba (bukan singa). Sangat dramatik teknik penyampaian dari pengarah dan pasukan produksi filem dengan kelahiran Tombiruo digambarkan di dalam hujan di satu pondok jauh di dalam hutan. 

Wanita muda yang melahirkan Tombiruo sebenarnya menjadi mangsa rogol bapanya sendiri. Lelaki durjana itu mahu membunuh anaknya dan bayi dalam kandungan itu untuk menghapuskan bukti kejahatannya. Namun, 'Tombiruo' diselamatkan oleh 'bobolian' yang membunuh lelaki durjana itu. 

'Bobolian' telah menghanyutkan Tombiruo di dalam perahu untuk mengelakkan kekejaman dunia luar dari menghukum Tombiruo yang lahirnya tak berwajah manusia!

TOMBIRUO MENJADI DEWASA
Ala Tarzan, Tombiruo/Ejim dibesarkan di dalam hutan oleh seorang bekas askar (lakonan Faizal Hussein). Tombiruo dipersiapkan untuk menjadi penunggu rimba. Hutan belantara adalah padang permainannya. Tombiruo bukan roh/hantu tapi dialah 'semangat' hutan. Ayah angkatnya melatih Tombiruo dengan kemahiran berlawan untuk menghadapi musuh dalam mempertahankan hutan belantara dari pemusnah.

KEMATIAN TUAN BERHAM
Kisah selari dalam novel RAM. Tuan Berham selaku pemilik syarikat Anak Bumi menolak projek pembinaan empangan di Sabah yang sepatutnya boleh menguntungkan syarikatnya. Tuan Berham simpati dengan nasib penduduk kampung yang perlu dipindahkan jika projek itu diteruskan. Wartawan, Wan Suraya, turut terlibat dalam kisah ketiga yang juga selari.

Sewaktu mengejar para penjahat yang membakar kampung sehingga menyebabkan kematian ayah angkatnya (Faizal Hussein), Tombiruo telah menyebabkan berlaku kemalangan kepada kenderaan yang dinaiki oleh Tuan Berham. Dalam kejadian ini, Tuan Berham telah meninggal dunia bersama anak perempuannya, Salina. Suami Salina, Amiruddin (Farid Kamil) yang tiba di tempat kejadian ternampak makhluk bertopeng (Tombiruo) sedang menyepak Juslan (lakonan Hasnol Rahmat). Amiruddin menyangka Tombiruo seekor makhluk yang jahat.

PEMBURUAN
Bermulalah kisah pemburuan dalam filem adaptasi ini. Wong, ketua sekuriti syarikat Alam Bumi yang cedera semasa menyerang penduduk kampung kerana diserang Tombiruo, kini memburu makhluk mistik itu. Sesiapa yang mengganggu kerja jahatnya mesti dicantas dan hati Wong cukup 'kering' untuk melakukan itu. Amiruddin pula memburu Tombiruo kerana menyangka Tombiruo telah menyebabkan kematian isteri dan ayah mertuanya.

WAN SURAYA MERUNGKAI MISTERI
Wan Suraya meragui Wong dan meminta rakannya untuk menyiasat latar belakang ketua sekuriti tersebut. Maklumat yang diterimanya: Wong mendapat bayaran komisyen yang sangat banyak, selain gaji biasanya. Semasa majlis di rumah arwah Tuan Berham, Wan Suraya mengugut untuk membocorkan rahsia Wong dan mengekori Wong ke belakang rumah. Wong menemui 'seseorang'.

Kehadiran Wan Suraya berjaya dikesan dan Wong mengejar. Amiruddin terlihat kelibat Wan Suraya sedang berlari dan dia bergegas mencari. Tombiruo menyelamatkan Wan Suraya dari dibunuh dan membawa Wan Suraya ke pondoknya. Ketika ini, Wan Suraya ingin melihat wajah Tombiruo di sebalik topeng tetapi dia terkejut melihat Tombiruo tidak berwajah manusia.

PERTEMPURAN KEMBAR (babak terbaik)
Ketika Amiruddin menjejak tempat tinggal Tombiruo, hutan telah berbahasa dan Monsiroi (bobolian) yang menyambut kelahiran Tombiruo menyatakan dia telah tahu 'hari ini akan tiba'. Hari dua beradik kembar yang pernah berkongsi rahim, akan beradu kekuatan tanpa mereka tahu mereka bersaudara.

Inilah babak terbaik kegemaran penulis! Masih terbayang saat Monsiroi mengeluarkan uri Tombiruo dari simpanannya. Ketika ini, Amiruddin sudah sampai di pondok Ejim/Tombiruo dan mula bertarung dengan penjaga rimba itu. Monsiroi di pondoknya dengan penuh syahdu dan berharap telah menyeru 'semangat cinta' Tobugi (ibu Ejim) yang mati semasa melahirkan. Monsiroi menyeru Tobugi dari alam kematian untuk menghentikan persengketaan Amiruddin dan Ejim yang sebenarnya ialah kembar yang berkongsi uri yang sama!

Babak kelahiran di awal filem tadi diulang semula. Satu lagi bayi (Amiruddin) yang berwajah manusia telah dihantar ke rumah anak yatim, dan Ejim dihanyutkan. Hutan menyampaikan khabar ini kepada Amiruddin dan Ejim yang sedang bertempur. Amiruddin juga menyedari Ejim mempunyai tanda lahir yang sama dengannya di lengan. Amiruddin masih menyalahkan Ejim yang menghalau Amiruddin dari tempat tinggalnya.

PENUTUP
Wong tiba bersama Juslan yang sebenarnya antagonis dan mengkhianati Tuan Berham (abangnya sendiri). Mereka telah mendapat koordinat pondok Ejim yang dikirim oleh Amiruddin sebelum dia diserang Ejim. Wong dan kuncu-kuncunya cuba membakar pondok Ejim dan memaksa Ejim menyerang mereka. Kemudian, mereka cuba mengejar Ejim tetapi Ejim dibantu oleh Amiruddin.

Amiruddin menyerang Juslan selepas mengetahui Juslan yang membunuh ayah mertuanya kerana tamakkan harta. Juslan berang dengan sikap Tuan Berham yang menyebelahi penduduk pedalaman dan menolak projek pembinaan empangan yang akan menguntungkan syarikat Anak Bumi.

Kemenangan akhirnya memihak Ejim. Happy ending. Amiruddin mengajak Ejim untuk keluar tetapi Ejim menolak kerana dunia luar bukan untuknya. Amiruddin membawa Wan Suraya pulang. Di akhir cerita, Amiruddin memberitahu anak lelakinya (Amirul) bahawa Amirul mempunyai seorang pak cik di dalam hutan. Siapa?

Dialah TOMBIRUO.

---------------------------

Penutup filem ini adalah segala-galanya yang cuba disampaikan. Cinta menyatukan kita sesama insan. Dendam, dengki, dan tamak hanya memusnahkan. Babak Ejim dan ayah angkatnya berbicara tentang cinta menutup filem ini dengan begitu indah.

Oh, jangan lupa ada 'teaser' filem seterusnya adaptasi dari novel RAM. Tiba-tiba Tombiruo di pondoknya mendapat tinta 'Catatan Laksamana Sunan'.

Filem seterusnya yang nampak menarik:
Thor: Ragnarok (26 Oktober)
Coco (animasi)
Ferdinand (animasi)
Murder on the Orient Express (jenayah)



Tuesday, October 10, 2017

Futsal Oh Futsal

Assalamualaikum.

Semalam penulis berhujung minggu hari Ahad menonton pertandingan futsal untuk Piala IMU 2017 yang bertempat di Ferro Futsal di Subang Jaya. Memang venue yang sudah menjadi kelaziman dari tahun ke tahun.

Hanya enam rumah sukan bertanding, jadi dibahagikan kepada dua kumpulan yang mengandungi tiga pasukan. Pemenang dan tempat kedua kumpulan akan berentap di separuh akhir, manakala pasukan tercorot kedua-dua kumpulan akan menentukan tempat kelima dan keenam.

Penulis datang kerana minat dan kebetulan rakan serumah penulis juga turut bersaing untuk rumah sukannya. Jika tidak, lebih baik penulis baring di rumah daripada menghadapi perjalanan Seremban-Subang Jaya. Penulis dan rakan serumah sampai pada jam 10 pagi. 

--------------------------------

Kumpulan A
Pegasus 3-2 Griffin
Griffin 2-1 Taurus
Pegasus 1-0 Taurus

1. Pegasus, 2. Griffin, 3. Taurus

Juara bertahan tahun lalu, Pegasus, turun menentang pasukan Griffin yang biasanya sebelum ini tidak mempunyai pasukan yang kuat (sepanjang pengalaman penulis dalam Piala IMU -- 2017 adalah tahun kelima). Kali ini mereka berjaya memberi saingan kepada Pegasus. Pasukan futsal Pegasus masih melibatkan ayam tambatan mereka tahun lepas ditambah dua orang pemain baru yang sangat berkualiti pada pandangan penulis.

Malang bagi rumah sukan penulis, Taurus, kerana berada sekumpulan dengan bakal juara dan naib juara. Taurus hanya tewas tipis dalam kedua-dua perlawanan tetapi tersingkir dari pusingan kalah mati.

---------------------------------

Kumpulan B
Draco 0-0 Phoenix
Phoenix 4-1 Hydra
Hydra 2-1 Draco

1. Phoenix, 2. Hydra, 3. Draco

Agak mengejutkan apabila melihat saingan dalam kumpulan ini. Draco dan Phoenix pernah mempunyai pasukan yang kuat dalam tahun-tahun yang lalu. Hydra seperti tidak mempunyai pemain baru yang kuat. Namun, Hydra tetap layak ke peringkat separuh akhir.

Draco dengan pasukan yang agak lemah kali ini adalah pasukan yang bernasib malang pada pandangan penulis. Mereka mencipta beberapa peluang tetapi ketumpulan penyudah menghancurkan harapan mereka untuk melangkah jauh. 

-----------------------------

Semi Final
Phoenix 1-2 Griffin
Pegasus 4-1 Hydra

Kemenangan Griffin mengatasi Phoenix untuk mara ke perlawanan akhir agak mengejutkan kerana pasukan Phoenix masih kuat seperti biasa. Cuma kekuatan Griffin meningkat secara mendadak tahun ini dengan beberapa orang pemain yang baik.

Pegasus tidak menghadapi masalah untuk membenam cabaran Hydra. Kelemahan Hydra sangat terdedah apabila menghadapi pasukan yang tersusun seperti Pegasus. Kemenangan Pegasus bermakna dua pasukan dari kumpulan yang sama akan berentap sekali lagi.

---------------------------

Tempat ke-5/6
Taurus 2-1 Draco

Tempat ke-3/4
Phoenix 6-0 Hydra

Final 
Griffin 2-2 Pegasus 
*Pegasus menang penentuan penalti 2-1

Penamat yang menarik untuk pertandingan futsal tahun ini. Taurus selayaknya mengalahkan Draco kerana mereka berada dalam kumpulan yang sama dengan dua pasukan di final (pada awalnya). Kejayaan Phoenix membelasah Hydra sebenarnya dibantu hakikat Hydra tidak mempunyai pemain yang cukup.

Kecederaan yang dialami dua orang pemain Hydra ditambah pula kenyataan mereka tidak ada pemain simpanan menyaksikan Hydra beraksi kurang seorang pemain untuk sebahagian besar permainan. Phoenix pula tiada belas kasihan.

Perlawanan akhir sangat epik dan menyajikan aksi terbaik dalam pertandingan kali ini. Pegasus sepertinya akan menang mudah apabila mendahului 2-0 di separuh masa kedua. Namun, Griffin memastikan penyudah mencemaskan dengan dua jaringan lewat untuk mengikat kedudukan. Tuah Griffin berakhir di situ apabila tewas penentuan penalti 2-1.

Keseluruhannya, pertandingan futsal 2017 tidak meriah seperti sebelum ini. Tiada insiden pergaduhan atau momen-momen panas antara pemain. Hakikat ini dipersetujui rakan penulis yang beraksi untuk pasukan futsal Griffin (kami veteran Piala IMU). Buat pertama kalinya juga, penulis dapat memuji kualiti pengadilan yang langsung tidak menimbulkan rasa tidak puas hati.

Biasanya, pemain akan bertegang urat dengan pengadil kerana sikap berat sebelah, tetapi tidak berlaku kali ini. Salut dari penulis untuk pengadil yang cemerlang, sama seperti pemain di atas padang. Tahniah Pegasus kerana mempertahankan pingat emas yang dimenangi tahun lalu. Kita jumpa di padang bola sepak.

Keyboard off.



Saturday, October 7, 2017

Cerita Dalam Cerita: Port Dickson

Assalamualaikum.

Hari ini penulis dan lapan orang rakan bergerak ke Port Dickson untuk bersantai sambil barbecue. Sebenarnya tak santai sangat. Program ini hanya dirancang dalam masa kurang seminggu (kalau rancang lama-lama pun tak jadi kan?).

Rupa-rupanya nak sampai tempat berkelah tu punyalah seksa. Maka penulis bermandi peluh. Sepuluh kali lebih teruk dari workout harian. Destinasi di Tanjung Tuan. Terpaksa memanjat bukit sebelum turun semula melalui anak tangga yang curam. Bayangkan penulis memikul beg makanan yang berat. Panjang ceritanya, tapi diringkaskan, rakan-rakan yang lain naik ke kawasan lebih tinggi. Penulis dan dua orang lagi rakan turun terlebih dulu.

Elok saja kami sampai, air laut pasang. Sadis...

Selepas tu, mulalah proses membakar ayam dan sate. 




Nampak sedap kan? Tapi penat jugak nak bakar tu. 

---------------------------

Belum selesai lagi hari Sabtu kami. Seterusnya, mencari farmasi untuk membeli ubat gout bagi seorang rakan kami yang menikmati makanan sampai terkena serangan gout. Dah beli ubat, bergerak pulak makan cendol bakar. Yummy! Orang belanja memang sedap!

Destinasi seterusnya?

Pantai Teluk Kemang.

Walaupun dari bersembilan kini tinggal berlima, kami teruskan juga misi ekstrem menaiki bot pisang (banana boat). Ini pengalaman pertama bagi penulis. Memang teruja. Rasa cuak tu ada, tapi rasa nak mencuba tu memang dah sebati dalam diri. Suka nak cuba perkara baru.


Masa awal kami berempat naik bot tu, kawan penulis kat belakang dah cuak. Berapa banyak selawat dia baca mungkin dah cukup untuk jadi ustaz. Penulis masa tu masih boleh gelak lagi. Perjalanan pun bermula. Cengkaman pada tali bot kuat, pijakan kaki pun kuat. 

Masa bot pisang melantun di permukaan air laut tu memang dah terasa getarannya. Kami masih boleh gelak-gelak. Masih boleh jerit 'Takbir' dan 'Allahuakbar'. Makin lama, semakin ke tengah laut. Fuhh, memang berdebar. 'Tak naklah jatuh, tak naklah jatuh' hati bermonolog. Tiba-tiba nampak pemandu bot tu meningkatkan kelajuan dan bila dia melakukan pusingan tajam....

Semua jatuh ke laut. Masa tu, memang dah hanyut. Cuak ni. Pengalaman pertama. Pemandu bot tu memang steady. Tanpa jaket keselamatan, dia turun membantu kami. Tabik spring kepada dia. Memang salut habis. Kami 'dijatuhkan' kali kedua berhampiran dengan tepi pantai, lebih cetek. Puas hati dengan bayaran yang dikenakan untuk setiap kepala, bukan bayaran satu bot.\

So much fun

Banana boat survivors

Brothers

Kenangan di Port Dickson, 7 Oktober 2017. 

Keyboard off.



Orang Asing

Assalamualaikum.

Filem: The Foreigner
Rating IMDb: 7.6
Rating peribadi: 8.5
*Strictly no kids allowed. Rated 18

**spoiler alert**



Filem yang sederhana: tidak terlalu ringan dan tak pula terlalu berat. Sedang-sedang saja. Plot yang kompleks tapi disusun dengan baik. Garapan yang kemas dan mudah difahami. Setiap situasi diterangkan dengan jelas. Penonton tidak perlu memerah otak seperti menonton filem Blade Runner. Durasi filem ini 111 minit.

Ringkasnya, filem ini secara linear berkisar tentang perjalanan seorang ayah yang mahu menebus kematian anak perempuannya di awal cerita. Anak Quan Ngoc Minh terbunuh kerana letupan bom di tempat awam. Quan melakukan segala yang termampu olehnya dengan kudrat lelaki tua berusia 61 tahun. Filem ini penuh aksi seperti filem-filem Jackie Chan yang tipikal.

LIAM HENNESSY (Pierce Brosnan)
Watak Timbalan Menteri di Ireland Utara yang mempunyai sejarah silam yang hitam kelam membuatkan dia terlibat dalam masalah besar di garis masa sekarang. Semasa mudanya, Liam pernah melakukan kesilapan termasuklah membiarkan kematian adik iparnya (adik isterinya, Mary) tidak terbalas. Liam juga curang apabila melakukan hubungan sulit dengan Maggie a.k.a Sara McKay. Liam diburu oleh Quan yang mahukan nama pengebom anaknya.

QUAN NGOC MINH (Jackie Chan)
Veteran perang yang terlatih. Quan hanya ada seorang saja anak yang tinggal selepas dua orang anaknya mati dibunuh lanun Thailand. Isterinya pula mati semasa melahirkan anak bongsunya, Fan. Quan bagaikan hilang segala-galanya selepas kematian Fan dalam pengeboman oleh pengganas dari Ireland Utara yang menuntut pembersihan penempatan haram di negara mereka. 

Quan meninggalkan perniagaan restorannya kepada rakan niaganya, Lam, yang sangat prihatin dan mengambil berat akan Quan. Namun kesungguhan Quan untuk membalas dendam kematian anaknya tidak mampu disekat apa pun. Quan secara solo memburu Liam yang cuba melarikan diri. Quan mendesak Liam memberikan nama pengebom yang membunuh anaknya.

SEAN 
Liam memanggil anak saudaranya ini untuk membantunya. Liam sangat percaya dengan Sean untuk membawa mesej kepada Komander Bromley dari pasukan khas SO15. Sean terlatih sebagai seorang renjer. Selepas pengeboman di London, pasukan pengganas itu memberikan kod rahsia dari parti politik Liam di Ireland Utara. Liam menukar kod tersebut untuk memerangkap pasukan pengganas.

Malangnya, rancangan Liam ini terbongkar apabila Sean rupanya mengadakan hubungan sulit dengan Mary (isteri Liam). Liam tahu penglibatan Sean kerana hanya dia dan Sean yang tahu rancangan ini. Sean tidak berniat untuk mengkhianati Liam tetapi dia tidak tahu dendam Mary terhadap Liam.

------------------------------

Persoalan:
1. Kasih sayang ayah kepada anaknya sehingga menjadikan dia hilang kewarasan.
2. Akibat dendam yang menghancurkan.

Bagi peminat filem aksi, filem 'The Foreigner' ini penuh aksi letupan. Juga padat dengan aksi pertarungan yang dimenangi Jackie Chan. Sangat Chan-esque. Siri letupan dilakukan oleh Quan yang mahir selok-belok hutan untuk memberi amaran kepada Liam. Quan menyangka Liam tahu siapa yang terlibat sedangkan hakikatnya Liam benar-benar tidak tahu dalang pengeboman tersebut.

Filem ini berakhir dengan kemenangan buat Quan yang membunuh pengebom anaknya dengan tangan sendiri. Walaupun pasukan SO15 yang dikerah oleh Komander Bromley berada di kawasan penjenayah, Quan bertindak lebih pantas. Misi balas dendam Quan selesai dan dia kembali kepada Lam yang sangat menyayangi Quan.

Pengakhiran yang indah untuk kisah yang tragis.



Tuesday, October 3, 2017

QD

Assalamualaikum.

Gatal tangan nak menulis.
Lama rasanya tak menulis.

Dulu masa belajar di Shah Alam untuk program persediaan ke luar negara, sempat mengarang novel mini Qisya Delisya. Lepas tu mood menulis pun dah hilang. Maka projek tu pun terbengkalai. Lenyap bersama pupusnya bayu.

Bila baca semula perjalanan cerita tu, rasa macam nak tergelak pun ada. Aku ke yang tulis cerita macam tu? Oleh sebab masa tu masih kurang matang, plot cerita tu dikarang dengan latar belakang pelajar di sekolah menengah. Rasa macam 'monyet' sangat.

Aku dah padam Bab 1 dan Bab 2 untuk memberikan nafas baru. Bab prolog dikekalkan sebab masih relevan. Sekarang masih fikirkan perkembangan plot novel mini ni. Sama ada cerita ni akan menjadi kisah sedih yang paling tragis, atau kisah dongeng yang paling indah.

Aku dah lupa nama-nama watak masa tu sebab tak ada rekod. Nampaknya kena fikirkan semula nama-nama watak selain watak utama dan beberapa watak lain yang wujud dalam bab prolog. Hmm keep thinking, keep thinking

Keyboard off.



UCL 17/18 #2

Assalamualaikum,

Perlawanan kedua peringkat kumpulan musim baru dengan beberapa perlawanan menarik. Real Madrid melawat gelanggang Dortmund. Paris Saint-Germain berentap dengan gergasi Bayern Munich tanpa bintang paling mahal dunia, Neymar. 

KUMPULAN A
CSKA Moscow 1-4 Manchester United
Basel 5-0 Benfica

KUMPULAN B
Anderlecht 0-3 Celtic
Paris Saint-Germain 3-0 Bayern

KUMPULAN C
Qarabag 1-2 Roma
Atletico Madrid 1-2 Chelsea

KUMPULAN D
Juventus 2-0 Olympiacos
Sporting Lisbon 0-1 Barcelona

KUMPULAN E
Spartak Moscow 1-1 Liverpool
Sevilla 3-0 Maribor

KUMPULAN F
Manchester City 2-0 Shakhtar 
Napoli 3-1 Feyenoord

KUMPULAN G
Monaco 0-3 Porto
Besiktas 2-0 Leipzig

KUMPULAN H
APOEL 0-3 Tottenham
Dortmund 1-3 Real Madrid

-------------------------------

Manchester United mencatat kemenangan kedua selepas kembali di pentas tertinggi bola sepak Eropah. Anthony Martial memainkan peranan penting dengan satu gol dan tiga bantuan gol, terlibat dengan semua jaringan Manchester United. PSG mencatat kemenangan selesa ke atas gergasi Bundesliga, Bayern Munich yang dalam krisis.

Chelsea mencatat kemenangan penting mengatasi pencabar utama, Atletico Madrid, di Sepanyol dalam kumpulan C. Dua gergasi, Juventus dan Barcelona tidak menghadapi masalah untuk mengutip mata penuh dalam kumpulan D.

Liverpool seri lagi dalam kumpulan E ketika kelab La Liga, Sevila memungut mata sempurna. Manchester City dan Napoli meneruskan rentak cemerlang untuk musim baru dengan kemenangan dalam kumpulan F.

Hatrik Harry Kane membantu Tottenham Hotspurs membenam cabaran APOEL ketika Real Madrid membuktikan keunggulan dengan mengatasi Borussia Dortmund dalam kumpulan maut.

Kegagalan Liverpool mengalahkan Spartak Moscow menjadikan mereka satu-satunya pasukan England yang tidak menang dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan. Liverpool juga mungkin menjadi pasukan England pertama yang tersingkir musim ini.




Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif